SHAH ALAM - Madrasah pengajian Islam digital pertama di Malaysia, BeDaie menyediakan perkhidmatan ‘satu daie satu rumah’ untuk mengajar orang ramai membaca al-Quran secara bersemuka bersama tenaga pengajar di kediaman masing-masing.
Pengasasnya, Muhammad Amar Mirza Abd Kadir Jailani berkata, pihaknya berhasrat agar tiada rumah yang terlepas pandang daripada pembelajaran agama selain memberi jaminan program tersebut boleh membawa perubahan positif berlaku kepada ahli keluarga.
“Kanak-kanak, ibu bapa atau warga emas boleh belajar Iqra’ dengan ustaz atau ustazah yang dipilih, jadi pembelajaran itu lebih selesa dan fokus dengan apa yang diajar. Sekurang-kurangnya satu jam diperuntukkan untuk mengajar mereka pada setiap minggu.
“Dalam masa tiga bulan, mereka boleh khatamkan Iqra’, seterusnya akan sambung ke pembelajaran seperti al-Quran, mendalami bacaan dalam solat, ambil wuduk dan sebagainya,” kata beliau ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.